fb fb fb fb fb

AS henti keluar visa pelawat penduduk Gaza

Foto REUTERS

WASHINGTON, 17 Ogos – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan pemberhentian sementara semua visa pelawat kepada individu dari Gaza, langkah yang dikecam kumpulan pro-Palestin.

Jabatan Negara AS dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu bagi memberi ruang kepada pihaknya menjalankan “semakan penuh dan menyeluruh.”

Bagaimanapun, jabatan itu mengesahkan sejumlah kecil visa perubatan sementara atas dasar kemanusiaan masih dikeluarkan dalam beberapa hari kebelakangan ini tanpa menyatakan jumlah sebenar.

Setakat ini, lebih 3,800 visa B1/B2 yang membenarkan pemegang mendapatkan rawatan perubatan di AS sudah dikeluarkan kepada pemegang dokumen perjalanan Palestin sepanjang 2025, termasuk 640 pada Mei.

Dokumen itu dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk penduduk Tebing Barat dan Gaza.

Keputusan terbaharu itu dibuat selepas aktivis sayap kanan, Laura Loomer, mendakwa di media sosial bahawa pelarian Palestin memasuki AS bulan ini.

Dakwaan itu mencetuskan bantahan beberapa ahli Kongres Republikan yang menyifatkan perkara berkenaan sebagai “risiko keselamatan negara.”

Sementara itu, Majlis Hubungan Islam-Amerika (CAIR) mengecam tindakan kerajaan AS sebagai bukti kezaliman pentadbiran Presiden Donald Trump, manakala Pertubuhan Bantuan Kanak-kanak Palestin (PCRF) menyifatkannya bakal menafikan akses rawatan kepada kanak-kanak Gaza yang cedera dan sakit kritikal.

“Dasar ini memberi kesan buruk dan tidak dapat dipulihkan terhadap misi kami membawa kanak-kanak Gaza ke AS untuk rawatan perubatan yang menyelamatkan nyawa, misi yang telah kami jalankan lebih 30 tahun,” kata PCRF.

AS sehingga kini belum menunjukkan kesediaan menerima pelarian Palestin akibat perang, namun sumber memberitahu Reuters bahawa Sudan Selatan dan Israel sedang berbincang mengenai rancangan penempatan semula mereka. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD