fb fb fb fb fb

Angka cedera harian di Gaza terus meningkat ketara

Foto REUTERS

GAZA,17 Ogos -Jumlah rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel di Gaza meningkat tiga kali ganda sejak akhir Mei, ketika sistem kesihatan yang hancur di wilayah itu semakin lumpuh dan tidak mampu menampung keperluan.

Timbalan penyelaras perubatan Pertubuhan bantuan perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF) di Gaza, Dr. Mohammed Abu Mughaisib berkata, pusat pengagihan makanan yang diwujudkan bawah satu badan disokong Israel dan Amerika Syarikat dikenali sebagai Gaza Relief Organisation, kini berubah menjadi “zon maut” dan bukannya kawasan selamat untuk orang awam.

"Apa yang tinggal daripada sektor kesihatan hanyalah rangka yang rapuh, dan kini ia berdepan satu lagi mimpi ngeri,” katanya sambil memberi amaran bahawa ramai mangsa cedera tidak sempat tiba ke hospital dalam keadaan hidup.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak 27 Mei tarikh permulaan skim bantuan yang dikendalikan Israel, seramai 1,924 orang terbunuh dan lebih 14,000 cedera ketika menunggu bantuan di pusat-pusat tersebut.

Dr. Abu Mughaisib turut menggambarkan keadaan mengerikan seperti tulang hancur, anggota badan terputus, arteri terkoyak serta jangkitan serius, sambil menegaskan bahawa pembedahan kecemasan dan rawatan rapi yang telah terjejas teruk akibat perang berbulan-bulan kini hampir lumpuh sepenuhnya di hospital-hospital yang masih beroperasi.

Beliau menggesa gencatan senjata segera dan akses kemanusiaan tanpa halangan, sambil memberi amaran bahawa tanpa tindakan segera, "tidak akan ada apa-apa yang tinggal untuk diselamatkan tidak hospital, tidak pesakit, dan tidak masa depan."

Sejak Oktober 2023, seramai 61,900 rakyat Palestin terbunuh akibat kempen ketenteraan Israel di Gaza, yang telah menghancurkan wilayah itu serta meletakkannya di ambang kebuluran.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut sedang dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan melakukan genosid terhadap penduduk di wilayah tersebut. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF