fb fb fb fb fb

AS-China capai persetujuan kurangkan tarif, redakan ketegangan perdagangan

Foto REUTERS

GENEVA, 12 Mei- Amerika Syarikat (AS) dan China sepakat untuk mengurangkan tarif selama 90 hari, sebagai langkah sementara meredakan perang perdagangan yang menggugat kestabilan pasaran kewangan global.

Persetujuan dicapai selepas rundingan di Geneva antara Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng.

Dalam rundingan tersebut, kedua-dua negara bersetuju untuk menurunkan tarif masing-masing kepada dua angka, AS sebanyak 30 peratus dan China kepada 10 peratus.

Kedua-dua pihak turut bersetuju menubuhkan satu mekanisme tetap untuk meneruskan rundingan berkaitan hubungan ekonomi dan perdagangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu.

Kementerian Perdagangan China menyifatkan keputusan itu sebagai kemajuan besar yang selaras dengan kepentingan bersama, manakala Ketua Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Ngozi Okonjo-Iweala, memuji langkah tersebut sebagai perkembangan positif bukan hanya untuk AS dan China, malah seluruh ekonomi global.

Rundingan tersebut turut memberi kesan positif terhadap pasaran kewangan apabila mata wang dolar AS mengukuh dan pasaran saham utama mencatat kenaikan, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pemulihan ekonomi global semakin meningkat.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengenakan tarif sehingga 145 peratus terhadap barangan import dari China, manakala Beijing membalas dengan tarif 125 peratus terhadap barangan AS.- AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM