fb fb fb fb fb

AS bina pengkalan tentera rahsia di Essequibo - Presiden Venezuela

Presiden Venezuela / Foto Reuters

CARACAS, 4 April -Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada Rabu menuduh Amerika Syarikat (AS) telah membina sebuah pengkalan tentera rahsia di Essequibo, sebuah wilayah yang kaya dengan hasil minyak yang menjadi pertikaian antara Venezuela dan Guyana sebelum ini.

"Pihak Venezuela mempunyai maklumat bahawa di wilayah Essequibo di bawah pentadbiran Guyana, sebuah pengkalan tentera rahsia Komando Amerika Selatan (USSOUTHCOM) tajaan CIA telah dibina", kata Maduro.

Menurut Maduro, pengkalan tentera itu dianggap sebagai salah satu pencerobohan terhadap kedaulatan Venezuela.

Kenyataan provokatif Maduro dibuat ketika parlimen mengadakan upacara memperingati undang-undang baru yang membentangkan pembelaan terhadap Guyana Essequibo, empat bulan selepas referendum yang kontroversial dan dibimbangi mencetuskan isu ketenteraan antara kedua-dua negara.

Pertikaian mengenai Essequibo yang membentuk kira-kira dua pertiga daripada wilayah Guyana dan telah ditadbir oleh Guyana selama lebih daripada satu abad bertambah buruk pada 2015 selepas penemuan minyak oleh syarikat gergasi tenaga yang berpangkalan di AS, ExxonMobil.

Ketegangan meningkat selepas referendum Disember. Beberapa hari kemudian, tentera AS mengadakan latihan ketenteraan bersama AS-Guyana.

Kedua-dua negara berjanji tahun lalu untuk tidak menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan pertikaian sempadan, yang kini di bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD