fb fb fb fb fb

AS berusaha bawa pulang Travis Timmerman dari Syria

Antony Blinken / Foto Reuters

AQABA, 13 Disember – Amerika Syarikat (AS) kini berusaha membawa pulang seorang warganya yang ditemui di Syria pada Khamis, menurut Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

Beliau mengumumkan usaha itu semasa mesyuarat di Jordan yang membincangkan peralihan politik di Syria.

Menurut laporan media, lelaki itu dikenali sebagai Travis Timmerman.

Blinken berkata, "Kami sedang berusaha membawa dia pulang dari Syria, namun atas sebab privasi, saya tidak dapat berkongsi maklumat lebih terperinci mengenai perkara itu," katanya kepada wartawan di Aqaba.

Menurut CBS News, Timmerman, yang berasal dari Missouri, mengesahkan bahawa beliau telah dibebaskan daripada penjara setelah kumpulan penentang kerajaan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad hujung minggu lalu.

Ibu Timmerman, Stacey Collins, menyatakan bahawa beliau menyangka anaknya telah meninggal dunia selepas hilang selama tujuh bulan.

"Saya benar-benar fikir dia sudah tiada, tetapi saya tidak mahu berputus asa," katanya.

Timmerman memberitahu CBS bahawa beliau telah ditahan di penjara selepas memasuki Syria tanpa kebenaran tujuh bulan lalu atas tujuan "rohani Kristian."

Jurucakap White House, John Kirby, berkata pihak berkuasa AS baru sahaja menerima maklumat mengenai keberadaan Timmerman di Syria dan sedang berusaha mengesahkan identitinya.

"Jabatan Negara sedang berusaha mengenainya," katanya dalam satu taklimat.

Blinken turut mengesahkan bahawa usaha untuk mengesan Austin Tice, seorang lagi warganegara AS yang diculik di Syria lebih sedekad lalu, masih diteruskan.

Tice, bekas Marin AS dan wartawan bebas, diculik pada Ogos 2012 ketika membuat liputan di Damsyik.

Presiden Joe Biden baru-baru ini menyatakan bahawa kerajaan AS percaya Tice masih hidup.

Ketika ditanya mengenai laporan yang menyebut Tice mungkin berada di Iran, Kirby berkata Washington berusaha berhubung dengan pelbagai pihak di seluruh dunia untuk mencari maklumat lanjut mengenai Tice.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN