fb fb fb fb fb

Dikritik tangani protes Gaza, Ketua Polis UCLA letak jawatan

Foto Reuters

WASHINGTON, 13 Disember - Ketua Polis Universiti California di Los Angeles (UCLA), yang telah dikritik kerana menangani serangan kumpulan ganas terhadap aktivis pro-Palestin pada Mei lalu, telah meninggalkan jabatan polis kampus tersebut.

"10 Disember 2024 adalah hari terakhir bekas Ketua Polis UCLA, John Thomas, bersama UCLA dan Jabatan Polis UCLA," kata jabatan itu pada Khamis.

Kapten Polis UCLA, Scott Scheffler, akan berkhidmat sebagai Ketua Polis sementara sehingga ketua tetap dilantik, tambah jabatan tersebut.

Kenyataan itu tidak memberikan butiran mengenai sebab-sebab perletakan jawatan Thomas.

Thomas tidak dapat dihubungi untuk memberi komen segera.

Beliau memberitahu Los Angeles Times pada Mei bahawa beliau telah melakukan "segala yang saya boleh" untuk menyediakan keselamatan dan melindungi pelajar.

Thomas "ditugaskan semula buat sementara waktu" tiga minggu selepas serangan tersebut, sementara satu pemeriksaan terhadap proses keselamatan dijalankan, menurut UCLA.

Dalam salah satu insiden keganasan paling teruk yang melibatkan protes di AS berkaitan dengan perang Israel di Gaza, penyerang bertopeng, yang digambarkan oleh pihak berkuasa sebagai "penghasut," menyerang khemah para penunjuk perasaan pro-Palestin dengan tongkat dan tiang.

Penghuni khemah itu juga mendakwa bahawa bunga api dilemparkan ke arah mereka.

Keadaan tersebut berterusan selama sekurang-kurangnya tiga jam hingga awal pagi 1 Mei sebelum polis tiba dan mengembalikan ketenteraman.

Gabenor California, Gavin Newsom, mengkritik "tindak balas penguatkuasaan undang-undang kampus yang terhad dan tertunda" sebagai tidak dapat diterima.

Pada malam berikutnya, ratusan pegawai polis negeri dan tempatan menyerbu khemah protes tersebut, menangkap lebih 200 orang.

Gangguan tersebut telah meletakkan UCLA di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di puluhan kampus universiti di AS, yang menyaksikan protes terhadap perang Israel yang telah menyebabkan hampir 45,000 kematian di Gaza dalam tempoh 14 bulan terakhir, menurut kementerian kesihatan tempatan.

Serta membawa kepada tuduhan genosid dan jenayah perang yang dinafikan oleh Israel.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN