LOS ANGELES, 13 Disember- Polis AS pada Khamis menemukan dadah bernilai AS$100 juta yang telah dibungkus dengan rapi dalam sebuah gudang.
Detektif dipanggil ke sebuah kawasan di Oak Hills, California, oleh jiran yang menyedari bau kuat berasal dari sebuah gudang yang baru dibina.
Sebaik sahaja masuk ke dalam, mereka mendapati seluruh fasiliti seluas 4,800 kaki persegi (450 meter persegi) itu dipenuhi beg sampah yang penuh dengan ganja.
Sebanyak 3,000 beg yang berat keseluruhannya 45 tan mengambil masa dua hari dan memerlukan 51 trak untuk dipindahkan oleh pegawai.
Namun, siapa pemilik dadah tersebut, yang dianggarkan bernilai lebih AS$100 juta di pasaran gelap, masih menjadi misteri.
Detektif Chris Bassett dari Jabatan Sheriff San Bernardino County mengakui bahawa polis bingung dengan penemuan tersebut.
Ketika ditanya oleh seorang wartawan sama ada pihak penyiasat mempunyai petunjuk tentang siapa pemiliknya, dia menjawab, "Belum ada pada masa ini."
"Fikiran pertama yang terlintas di kepala saya ialah, ke mana dadah ini akan pergi? Adakah ia untuk dijual secara haram? Adakah ia akan diedarkan ke seluruh Amerika Syarikat?" katanya.
Di California, ganja sama ada untuk tujuan perubatan mahupun rekreasi adalah sah, tetapi penanaman komersial memerlukan permit.-AFP