PARIS, 13 Disember - Presiden Perancis Emmanuel Macron dijangka mengumumkan pelantikan Perdana Menteri baharu pada Jumaat, beberapa hari selepas menghadapi kebuntuan dalam mencari pengganti Michel Barnier, yang digulingkan melalui undi tidak percaya di Parlimen pada 4 Disember lepas.
Barnier, yang hanya sempat berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama tiga bulan, menjadi Perdana Menteri kelima yang tersingkir sepanjang pentadbiran era Macron.
Kejatuhan Barnier telah mencetuskan krisis politik baharu, dengan Parlimen kini berpecah-belah selepas pilihan raya legislatif yang tidak memberikan majoriti kepada mana-mana parti atau gabungan.
Harapan awal bahawa Macron akan segera mengumumkan pengganti Barnier tidak kesampaian, malah tempoh 48 jam yang ditetapkannya sendiri pada Selasa lalu juga gagal.
Pada Khamis, Macron memendekkan lawatannya ke Poland, sekutu penting Kesatuan Eropah (EU) dan NATO untuk menyelesaikan perbincangan terakhir berhubung pelantikan tersebut.
“Pengumuman mengenai pelantikan Perdana Menteri akan dibuat esok pagi (Jumaat) melalui kenyataan bertulis,” kata seorang pembantu presiden tanpa menyebut nama.
Kabinet baharu dijangka diumumkan pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Dalam pada itu, Perdana Menteri baharu bakal berdepan cabaran besar, termasuk merangka belanjawan yang mampu mendapat kelulusan Parlimen.
Dalam situasi politik yang tegang, tiada jaminan Perdana Menteri baharu dapat bertahan lama memandangkan setiap Perdana Menteri sebelum ini berkhidmat dalam tempoh yang semakin pendek.
Pelbagai nama telah disebut sebagai calon, termasuk tokoh veteran, François Bayrou, bekas Perdana Menteri Bernard Cazeneuve, Menteri Pertahanan Sébastien Lecornu, dan bekas Menteri Luar Jean-Yves Le Drian.
Namun, setiap calon menghadapi tentangan daripada pelbagai spektrum politik, memperlihatkan betapa rumitnya politik Perancis ketika ini.
Sementara itu, menurut tinjauan pendapat Elabe, lebih dua pertiga rakyat Perancis berharap para pemimpin politik mencapai persetujuan untuk mengelakkan kerajaan baharu digulingkan.
Namun, keyakinan terhadap kemampuan ahli politik untuk mencapai kesepakatan masih rendah.
Dalam tinjauan IFOP yang berasingan, pemimpin parti sayap kanan Marine Le Pen dilihat memanfaatkan kekacauan politik ini, dengan sokongan 35 peratus dalam pusingan pertama pilihan raya presiden akan datang, jauh mendahului calon lain.
Le Pen, yang menghadapi perbicaraan pada 31 Mac 2025 atas tuduhan penyelewengan dana, menafikan dakwaan tersebut.
Jika disabitkan bersalah, beliau mungkin kehilangan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2027, yang disifatkan sebagai peluang terbaiknya untuk memenangi jawatan presiden.-AFP.