MALIBU, 13 Disember – Sebahagian penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman akibat kebakaran di Malibu kini dibenarkan pulang, selepas hampir 2,000 anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran yang telah memusnahkan beberapa rumah di kawasan pantai terkenal yang menjadi kediaman selebriti Hollywood.
Kebakaran yang dikenali sebagai 'Franklin Fire' telah memusnahkan empat rumah dan merosakkan enam lagi, melibatkan kawasan seluas 4,037 ekar (1,664 hektar) di bandar pantai barat laut Los Angeles.
Pegawai memaklumkan, kebakaran tersebut kini berjaya dikawal sebanyak 20 peratus.
Kira-kira 5,600 rumah dan 2,000 struktur lain berada dalam zon kebakaran yang menjejaskan seramai 22,000 penduduk.
Anggota bomba terus melindungi struktur di kawasan perbukitan berhampiran Lautan Pasifik sambil memperkukuhkan kawalan perimeter kebakaran.
Cal Fire, dalam satu kenyataan menyatakan, "Anggota bomba mencapai kemajuan berterusan dengan kelembapan dijangka meningkat pada waktu malam, manakala angin lemah dari timur laut dijangka berterusan hingga ke petang."
Kebakaran yang bermula pada Isnin lalu masih belum diketahui puncanya.
Namun, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Seramai 6,300 orang telah dipindahkan, termasuk selebriti terkenal seperti Dick Van Dyke dan Cher.
Sekolah serta perniagaan di kawasan itu juga ditutup sementara.
Beberapa arahan pemindahan mandatori ditarik balik pada Khamis, membolehkan sebilangan penduduk pulang ke rumah mereka.
Kapten Jennifer Seetoo dari Jabatan Sheriff Los Angeles County memaklumkan jumlah penduduk yang dibenarkan pulang tidak dinyatakan.
Pakar kaji cuaca dari Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Marc Chenard, berkata terdapat kemungkinan hujan pada petang Khamis.
"Keadaan cuaca akan membawa kelembapan sehingga 70 peratus serta angin perlahan," tambahnya.
Kebakaran itu terus menjadi cabaran utama di kawasan pantai yang terkenal dengan perumahan mewah dan sejarah sebagai kediaman selebriti Hollywood.-REUTERS