WASHINGTON, 13 Disember- Tiada sebarang kehadiran ejen FBI semasa serangan di Capitol Amerika Syarikat pada 2021 oleh penyokong Donald Trump, menurut laporan pemantau Jabatan Kehakiman yang dikeluarkan pada Khamis.
Laporan berkenaan sekali gus menyangkal teori konspirasi dalam kalangan media sayap kanan.
“Kami tidak menemui bukti dalam bahan yang kami semak atau keterangan yang kami terima yang menunjukkan bahawa FBI mempunyai kakitangan penyamar dalam kumpulan-kumpulan tunjuk perasaan, atau di Capitol, pada 6 Januari,” kata Ketua Pemeriksa Jabatan Kehakiman, Michael Horowitz, dalam laporan setebal 88 muka surat.
Pada 6 Januari, ribuan penyokong Trump menyerbu Capitol AS dalam usaha menghalang pengiktrafan Kongres terhadap kemenangan pilihan raya Demokrat, Joe Biden.
Media sayap kanan dan sebahagian penggubal undang-undang Republikan mendakwa bahawa ejen FBI mencetuskan serangan terhadap Kongres, yang berlaku selepas ucapan provokasi Trump yang mendakwa bahawa kemenangannya pada pilihan raya telah dicuri.
Pemantau tersebut melaporkan bahawa meskipun tiada ejen FBI hadir di perhimpunan Trump atau di Capitol, terdapat 26 pemberi maklumat FBI yang dikenali sebagai sumber manusia sulit (CHS) berada di Washington pada waktu itu.
Tiga daripada pemberi maklumat tersebut ditugaskan untuk melaporkan tentang suspek pengganas domestik, manakala yang lain berada di situ atas inisiatif sendiri.
“Tiada satu pun CHS FBI ini yang diberi kebenaran untuk memasuki Capitol atau kawasan larangan, atau melanggar undang-undang pada 6 Januari, begitu juga tiada satu pun CHS diarahkan oleh FBI untuk menggalakkan orang lain melakukan tindakan haram pada 6 Januari,” menurut laporan tersebut.
Pemantau tersebut juga menyatakan terdapat kegagalan dalam pengumpulan maklumat risikan oleh FBI sebelum serangan itu berlaku.
“Walaupun FBI telah berusaha secara signifikan untuk mengenal pasti subjek pengganas domestik yang merancang untuk pergi ke kawasan Capitol pada 6 Januari,” laporan itu menyebut, “FBI tidak mengambil langkah penting yang boleh membantu FBI dan rakan penguatkuasaan undang-undangnya dalam membuat persediaan."
"Secara khusus, FBI tidak membuat tinjauan terhadap pejabat lapangannya sebelum 6 Januari 2021 untuk mengenal pasti sebarang maklumat risikan, termasuk laporan CHS, mengenai ancaman terhadap pengiktirafan elektoral pada 6 Januari," katanya.
Timbalan Pengarah FBI, Paul Abbate, menyifatkan langkah ini sebagai langkah asas yang terlepas dalam memahami gambaran ancaman sebelum 6 Januari."
Trump telah dipecat oleh Dewan Perwakilan yang dikuasai Demokrat susulan serangan di Capitol, tetapi dilepaskan oleh Senat.
Beliau dijangka kembali ke White House pada 20 Januari selepas menewaskan Kamala Harris dalam pilihan raya presiden pada November lalu.
Lebih 1,500 individu telah didakwa berhubung serangan terhadap Kongres itu.
Trump memuji mereka sebagai "patriot" dan "tahanan politik" serta berjanji untuk mengampuni ramai di antara mereka apabila beliau kembali ke White House. -AFP