BRUSSELS, 25 November - Amerika Syarikat menuntut Kesatuan Eropah (EU) menyemak semula peraturan sektor teknologi mereka sebagai pertukaran kepada pengurangan tarif Amerika ke atas import besi dan aluminium daripada blok itu.
Menteri-menteri EU sebelum ini merancang menggunakan mesyuarat dengan pegawai perdagangan kanan Amerika untuk mendesak pelaksanaan perjanjian perdagangan Julai lalu, termasuk pengurangan tarif Amerika Syarikat ke atas besi EU dan penghapusannya ke atas barangan EU.
Menurut Setiausaha Perdagangan Amerika, Howard Lutnick, pada lawatan pertamanya ke Brussels sejak mengambil jawatan berkata, EU yang terdiri daripada 27 negara perlu terlebih dahulu menilai semula peraturan sektor digital mereka bagi menjadikannya lebih seimbang.
“Jika mereka dapat menghasilkan pendekatan yang seimbang itu, yang saya rasa mereka boleh, maka kami bersama mereka akan menangani isu besi dan aluminium,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat 90 minit dengan menteri-menteri EU di Brussels, bersama Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Pesuruhjaya Perdagangan EU, Maros Sefcovic berkata, syarat untuk memulakan rundingan mengenai tarif besi Amerika, kini sudah tersedia.
Tambahnya, EU memberi keutamaan kepada isu besi, termasuk menangani kapasiti berlebihan, selepas mengadakan pertemuan dengan menteri perdagangan EU dan pegawai perdagangan AS di Brussels.
Satu pasukan EU dijadual akan ke Washington untuk perbincangan lanjut.- REUTERS