WASHINGTON, 18 Ogos – Amerika Syarikat bersama beberapa negara Eropah berkemungkinan menawarkan jaminan keselamatan kepada Ukraine di luar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai sebahagian rundingan damai dengan Rusia.
Wakil khas Presiden Donald Trump ke Rusia, Steve Witkoff berkata, jaminan itu akan menyerupai Artikel 5 NATO, iaitu perjanjian pertahanan bersama yang mewajibkan semua negara anggota mempertahankan mana-mana ahli yang diserang.
“Itu bermakna Amerika Syarikat berpotensi memberi jaminan keselamatan seperti Artikel 5, tetapi bukan daripada NATO.
Ia datang secara langsung daripada Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah lain. Itu benar-benar besar,” katanya dalam temu bual bersama Fox News Sunday.
Ditanya sama ada ia melibatkan kehadiran tentera di Ukraine, Witkoff berkata, perkara itu akan diperhalusi dalam sesi perbincangan Isnin ini di White House.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, bersama pemimpin Eropah dijadual hadir untuk membincangkan keperluan keselamatan jangka panjang Ukraine.
Mengenai laporan bahawa Trump menyokong tuntutan Rusia untuk menguasai seluruh wilayah Donbas, Witkoff menegaskan perkara itu tidak benar.
“Kami berada di bilik mesyuarat sebagai mediator.
Presiden jelas bahawa keputusan mengenai wilayah atau pertukaran tanah adalah hak Ukraine sendiri, bukan Amerika. Yang disokong beliau ialah perjanjian damai,” katanya.
Menurut Witkoff, Trump sebelum ini menekankan keperluan gencatan senjata, tetapi kini melihat peluang lebih besar ke arah perjanjian damai selepas mesyuarat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Jumaat lalu.
Rundingan itu dilihat penting kerana Rusia menolak kemasukan Ukraine ke dalam NATO, manakala pemimpin Eropah mahu memastikan Kiev kekal mempunyai jaminan keselamatan yang kukuh.
NATO ditubuhkan pada 1949 dan kini mempunyai 32 negara anggota, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan Jerman.
Ia berfungsi sebagai pakatan pertahanan bersama bagi mengekang ancaman keselamatan, khususnya dari Rusia. -REUTERS