ACCRA, 9 Jun- Beratus-ratus rakyat Ghana turun ke jalanan di Accra pada Sabtu dalam protes aman terhadap gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan perniagaan dan kehidupan seharian di seluruh negara Afrika Barat.
Berpakaian merah dan hitam penunjuk perasaan berarak melalui ibu kota, menyeru kerajaan untuk menstabilkan bekalan kuasa.
Melaungkan lagu-lagu patriotik dan membawa lampu minyak tanah bagi melambangkan nasib mereka, kehadiran peserta protes yang ramai menyebabkan kesesakan lalu lintas pada waktu petang.
Walaupun menjadi salah satu negara Afrika pertama yang mengejar elektrifikasi secara agresif, Ghana mengalami kekurangan tenaga yang kronik dan bergelut untuk mengembangkan kapasiti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Digelar sebagai #DumsorMustStop vigil' 'dumsor' bermaksud pemadaman elektrik, protes itu dianjurkan oleh pelakon dan penerbit filem terkenal Ghana Yvonne Nelson.
“Saya merasai bahang, dan saya di sini untuk bersuara,” kata Nelson kepada AFP.
Turut menyertai protes itu, pelawak Ghana Derick Kobina Bonney memberitahu AFP: "Kegagalan bekalan elektrik yang tidak diumumkan ini membunuh kraf kami. Kami memerlukan tenaga elektrik yang stabil untuk berkembang maju."
Sementara itu, pemilik kedai Anita Twumasi kelihatan tertekan apabila dia berkongsi bagaimana gangguan bekalan elektrik turut menjejaskan bayinya yang berusia enam bulan.
"Bayi saya tidak tahan panas. Setiap kali bekalan elektrik terputus, saya risau akan kesihatannya," katanya.
Penunjuk perasaan menyalahkan pemotongan bekalan elektrik atas dakwaan kerajaan Parti Patriotik Baharu (RFN) gagal membayar bahan api yang diperlukan.
Penunjuk perasaan menggunakan papan tanda dengan slogan "NPP, anda telah menggagalkan belia," "Tiada cahaya, tiada kemajuan," dan "Elektrik adalah hak, bukan keistimewaan."
Elektrik telah menjadi isu kempen utama di Ghana, sebuah negara yang kaya dengan emas dan minyak, menjelang pilihan raya pada bulan Disember.- AFP