fb fb fb fb fb

Lima askar Somalia terbunuh dalam pertempuran dengan pemberontak

FOTO HIASAN

MOGADISHU, 9 Jun- Hampir 50 ahli kumpulan pemberontak Al-Shabaab dilaporkan maut dalam pertempuran dengan tentera pada Sabtu.

Kerajaan Somalia berkata lima askarnya turut maut dalam pertempuran tersebut.

Kejadian berlaku kira-kira 350 kilometer di utara ibu negara Mogadishu.

"Tentera kerajaan melancarkan serangan hendap selepas terdahulu dapat menghidu rancangan serangan yang dirancang oleh Al-Shabaab di Ceeldheer, di wilayah Galgadud," kata tentera kerajaan dalam satu kenyataan.

Sekurang-kurangnya 47 anggota kumpulan pemberontak terbunuh manakala tentera turut kehilangan lima anggota dalam pertempuran itu, kata pihak berkuasa.

Mereka berkata serangan udara juga dilakukan terhadap tentera Al-Shabaab.

Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan ke atas Ceeldheer.

Penduduk tempatan Mohamed Hussein memberitahu AFP melalui telefon: "Terdapat pertempuran hebat di bandar Ceeldheer pagi ini selepas Al-Shabaab menyerang bandar itu daripada beberapa arah.

"Amat sukar untuk menyatakan siapa yang mengawal satu ketika dahulu tetapi sekarang kita dapat melihat bahawa tentera kerajaan Somalia berada dalam kawalan penuh," tambahnya.

Seorang lagi lelaki tempatan, Hassan Gutale, berkata: "Terdapat sekurang-kurangnya enam letupan besar dan pertempuran yang berlangsung beberapa jam."

Dipilih pada Mei, 2022, Presiden Somalia Hassan Sheikh Mohamud berikrar untuk melancarkan perang habis-habisan terhadap kumpulan itu.

Al-Shabaab telah melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan pusat yang rapuh di Mogadishu selama lebih 16 tahun.

Walaupun dihalau keluar dari ibu negara oleh pasukan Kesatuan Afrika pada 2011, mereka masih mempunyai pasukan yang kuat di luar bandar Somalia.

Mereka telah melakukan serangan berulang kali terhadap sasaran politik, keselamatan dan orang awam, kebanyakannya di Somalia tetapi juga di negara jiran termasuk Kenya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE