fb fb fb fb fb

Argentina mohon pinjaman AS$20 bilion dari IMF

Menteri Ekonomi Argentina, Luis Caputo / Foto REUTERS

BUENOS AIRES, 28 Mac-Argentina telah memohon pinjaman sebanyak AS$20 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kata menteri ekonominya, Luis Caputo pada Khamis, ketika kerajaan negara itu bergelut untuk mengekalkan rizab asing sambil menyokong mata wang negara yang semakin lemah.

Selain daripada permohonan kepada IMF, Luis Caputo berkata Argentina juga sedang berunding tentang pakej tambahan dengan organisasi lain seperti Bank Dunia dan Bank Pembangunan Antara Amerika (IDB).

Cadangan pinjaman tersebut perlu mendapat kelulusan daripada lembaga IMF, dan jurucakapnya, Julie Kozack, berkata pada Khamis bahawa rundingan dengan Argentina, termasuk pakej pembiayaan yang "besar," berada di peringkat akhir.

Namun, beliau tidak memberikan jumlah tepat bagi pakej tersebut.

Caputo menegaskan bahawa pinjaman IMF ini "tidak akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan" tetapi untuk menstabilkan semula bank pusat Argentina.

Argentina telah beberapa kali gagal membayar hutang dalam beberapa dekad kebelakangan ini, dan IMF telah menyelamatkan ekonomi kedua terbesar di Amerika Selatan itu sebanyak 22 kali sebelum ini.

Milei, yang menggelarkan dirinya sebagai "anarkokapitalis," memegang jawatan presiden pada Disember lalu dengan janji untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan, mengekang inflasi, dan membetulkan defisit fiskal yang besar.

Dalam tempoh enam bulan terakhir, nilai peso telah susut sekitar sepuluh peratus berbanding dolar AS.

Pinjaman baharu ini akan menambah hutang sedia ada Argentina sebanyak AS$44 bilion kepada IMF di bawah perjanjian yang ditandatangani pada 2018, yang merupakan pinjaman terbesar pernah diberikan oleh IMF.

Argentina memiliki salah satu kadar inflasi tertinggi di dunia, tetapi di bawah pemerintahan Milei, kadar ini telah menurun daripada 211 peratus tahun ke tahun pada akhir 2023 kepada 84.5 peratus pada Januari tahun ini.

Presiden Milei berkata bahawa perjanjian baharu dengan IMF akan membantu memastikan "inflasi hanya tinggal sebagai kenangan buruk."

Mengawal inflasi merupakan keutamaan politik utama Milei, terutama menjelang kempen pilihan raya pertengahan penggal, ketika partinya yang tidak memiliki majoriti di Kongres berusaha meningkatkan jumlah kerusi.

Kozack dari IMF memuji usaha Argentina, dengan mengatakan bahawa negara itu telah "memulakan program penstabilan yang benar-benar mengagumkan" dan "pembaharuan mula menunjukkan hasilnya."

Caputo berkata kejatuhan nilai peso baru-baru ini berpunca daripada "cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan Presiden Javier Milei," yang didakwanya dilakukan oleh "pihak pembangkang."

Kerajaan Argentina menghadapi protes mingguan oleh pesara, yang baru-baru ini turut disertai oleh peminat bola sepak, kesatuan pekerja, dan organisasi sosial.

Protes itu bulan ini telah bertukar menjadi pertembungan ganas dengan pihak polis.

Kesatuan pekerja utama negara, CGT, telah mengumumkan mogok umum yang dijadualkan pada 10 April.

Pada Rabu lalu, nilai dolar di pasaran gelap, yang dikenali sebagai 'blue dollar,' mencecah lebih 1,300 peso setiap dolar, manakala kadar rasmi berada pada 1,091 peso iaitu perbezaan terbesar dalam lebih enam bulan.

Walaupun kerajaan telah berjanji untuk menarik balik kawalan pertukaran asing yang dilaksanakan sejak 2018, kekurangan mata wang asing telah menghalang pelaksanaan langkah tersebut.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD