fb fb fb fb fb

Kanser: Raja Charles jalani pemantauan singkat di hospital

Raja Charles III /Foto AFP

LONDON, 28 Mac – Raja Britain, Raja Charles, menjalani pemantauan ringan di hospital pada Khamis selepas mengalami kesan sampingan akibat rawatan kanser, menurut kenyataan Istana Buckingham.

Sumber diraja menyatakan bahawa Raja Charles berada dalam keadaan baik dalam proses pemulihannya.

Charles yang berusia 76 tahun telah menjalani rawatan selepas didiagnosis dengan sejenis kanser yang tidak dinyatakan pada Februari tahun lalu selepas menjalani prosedur pembetulan bagi masalah prostat yang membesar.

Menurut istana lagi, Charles telah kembali ke kediamannya di Clarence House dan sebagai langkah berjaga-jaga, semua acara rasmi baginda pada hari Jumaat terpaksa dijadualkan semula. Permaisuri Camilla tidak menemani baginda ke hospital.

"Baginda sepatutnya menerima kredensial daripada duta tiga negara petang ini. Esok, baginda juga dijadualkan menghadiri empat acara rasmi di Birmingham dan amat kecewa kerana tidak dapat hadir," kata jurucakap istana.

"Baginda berharap acara ini dapat dijadualkan semula pada masa akan datang dan memohon maaf kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan lawatan tersebut."

Istana tidak memberikan butiran lanjut mengenai kesan sampingan yang dialami baginda, tetapi sumber diraja menyatakan bahawa ini hanyalah perkara biasa yang dalam rawatan perubatan dan pemulihannya berjalan dengan baik.

Menurut sumber tersebut, Raja Charles berada dalam keadaan baik dan masih meneruskan kerja serta membuat panggilan dari pejabatnya.

Lawatan negara ke Itali bulan depan bersama Permaisuri Camilla dijangka berlangsung seperti yang dirancang, dan tiada kemas kini kesihatan lanjut dijangka akan diberikan.

Diagnosis awal kanser Raja Charles mengejutkan ramai pihak, memandangkan baginda baru 18 bulan menaiki takhta.

Namun, pegawai diraja tetap optimis terhadap kesihatan Charles dan walaupun jadualnya dikawal dengan rapi, baginda telah kembali kepada rutin kerja yang sibuk.

Raja Charles dikenali sebagai seorang yang kuat bekerja, sering menghabiskan waktu lewat malam untuk menyelesaikan dokumen rasmi.

Permaisuri Camilla dan ahli keluarga lain sering menasihati baginda agar memperlahankan jadual kerjanya.

Penyakit Raja Charles berlaku serentak dengan menantu baginda, Kate Middleton, 43, isteri kepada anak sulungnya Putera William, yang turut menjalani rawatan kanser.

Kate mengumumkan pada Januari bahawa beliau kini dalam tempoh pemulihan dan secara beransur-ansur kembali menjalankan tugas rasmi.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD