BUENOS AIRES, 23 Mei- Argentina pada Khamis mengumumkan pakej langkah untuk melonggarkan peraturan ke atas transaksi kewangan bagi merangsang aliran tunai dalam ekonomi, lapor Xinhua.
Menteri Ekonomi Argentina, Luis Caputo mengumumkan inisiatif yang dinamakan “Pelan Pemulihan Sejarah Simpanan Rakyat Argentina” pada satu sidang media yang turut dihadiri Presiden Bank Pusat Santiago Bausili, Ketua Agensi Kutipan dan Kawalan Kastam (ARCA) Juan Pazo dan jurucakap Presiden, Manuel Adorni.
Langkah tersebut secara asasnya mengurangkan sekatan dan pemantauan kewangan oleh kerajaan terhadap transaksi seperti penggunaan kad kredit, pengeluaran tunai, jual beli hartanah, pembelian kenderaan terpakai serta pelbagai urus niaga lain.
Caputo berkata langkah penstrukturan semula itu, “bertujuan mengembalikan semula kebebasan terhadap simpanan rakyat kepada majoriti warga Argentina yang telah lama dibebani cukai dan peraturan yang berlebihan.”
Pihak berkuasa berharap rakyat Argentina akan terdorong untuk membelanjakan simpanan mereka dengan lebih bebas, sekali gus meningkatkan peredaran tunai dalam ekonomi dan merangsang pertumbuhan.- BERNAMA