BANFF, 23 Mei- Menteri kewangan dan gabenor bank pusat negara-negara Kumpulan Tujuh (G7) ekonomi utama dunia berikrar untuk bekerjasama dalam usaha menstabilkan pasaran global, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam kenyataan akhir yang dikeluarkan pada Khamis, para pegawai G7 menyatakan komitmen mereka untuk mengejar matlamat politik bersama dalam menghadapi cabaran global yang kompleks.
Mesyuarat itu yang diadakan di bandar peranginan Banff, Kanada, digambarkan sebagai “perbincangan yang produktif dan terbuka mengenai ekonomi global, ketidakseimbangan global yang tidak mampan, serta kaedah untuk merangsang pertumbuhan dan produktiviti.”
Kenyataan itu turut menyebut bahawa walaupun ketidaktentuan dalam dasar perdagangan dan ekonomi telah berkurangan, kerjasama yang berterusan diperlukan bagi memastikan kemajuan dapat dipertahankan.
“Kita mesti terus bekerjasama untuk menangani cabaran bersama, memastikan pertumbuhan global yang kukuh dan stabil serta mencapai matlamat bersama,” kata Menteri Kewangan Kanada, Francois-Philippe Champagne.
G7 terdiri daripada Jerman, Perancis, Britain, Itali, Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat.- BERNAMA