MULEGNS, 23 Mei – Tor Alva, menara cetakan 3D setinggi hampir 30 meter, diperkenalkan secara rasmi di Mulegns, Switzerland, sekali gus menjadikannya struktur cetakan 3D tertinggi di dunia setakat ini.
Projek kerjasama antara ETH Zurich dan Yayasan Kebudayaan Origen itu menampilkan teknologi pembinaan digital canggih dan dibangunkan sebagai hab kebudayaan bagi memulihkan semula kampung yang kini hanya dihuni 11 orang penduduk.
Menara berwarna putih itu dibina tanpa acuan tradisional dan menggunakan cetakan 3D berasaskan robotik dengan 32 tiang konkrit berukir.
Ia turut mengaplikasikan campuran konkrit baharu serta sistem tetulang inovatif hasil penyelidikan ETH Zurich.
Menurut Profesor Walter Kaufmann, tetulang dalam konkrit bercetak itu berfungsi seakan konkrit bertetulang konvensional walaupun teknologinya berbeza.
Reka bentuknya yang menyerupai kek lapis memberi penghormatan kepada sejarah kawasan yang terkenal dengan tukang manisan.
Terletak di Julier Pass berhampiran St. Moritz, Tor Alva akan dibuka untuk lawatan berpandu mulai 23 Mei dan dijangka kekal di lokasi tersebut selama lima tahun sebelum dipindahkan.
Pembangun menyifatkan projek itu sebagai lambang inovasi dalam pembinaan serta pemacu pelancongan mampan di rantau berkenaan.-REUTERS