LIMA, 1 September – Penemuan arca kecil dua ekor katak bersama simbol berkaitan air berhampiran bandar purba Caral di Peru mengukuhkan bukti bahawa tamadun purba di rantau itu musnah akibat perubahan iklim dahsyat ribuan tahun lalu.
Ahli arkeologi melaporkan arca berusia sekitar 3,800 tahun itu, bersama lukisan antropomorfik pada dinding lumpur, ditemui awal tahun ini di tapak arkeologi Vichama, kira-kira 160 kilometer di utara ibu negara Peru.
Vichama, yang berkembang antara 1800 hingga 1500 Sebelum Masihi, merupakan pusat bandar yang muncul selepas keruntuhan kota purba Caral, bandar tertua di benua Amerika Selatan.
Menurut ketua penyelidik Vichama, Tatiana Abad, arca katak setinggi 12 sentimeter itu melambangkan kesuburan dan penghormatan terhadap air serta hujan, khususnya selepas tempoh kemarau panjang, selaras dengan kepercayaan masyarakat Andes ketika itu.
Selain arca tersebut, lukisan dinding menggambarkan rangka manusia dalam keadaan kekurangan zat makanan turut ditemui, dipercayai menandakan kesan perubahan iklim global yang bukan sahaja menyebabkan kejatuhan Caral, malah tamadun lain di seluruh dunia.
“Katak menjadi simbol krisis yang mereka hadapi, namun juga lambang harapan terhadap kesuburan dan kemakmuran,” jelas Abad.
Caral, yang terdiri daripada 32 bangunan monumental berusia sekitar 5,000 tahun, seangkatan dengan tamadun Mesir dan Sumer tetapi berkembang secara terpencil tanpa pengaruh luar, menjadikannya unik dalam sejarah purba.
Peru terkenal sebagai pusat tamadun purba, selain tapak arkeologi penting lain termasuk Machu Picchu dan garisan misteri Nazca yang terletak di kawasan gurun di pantai tengah negara itu. - REUTERS