fb fb fb fb fb

Apple didenda RM10.53 juta kerana penjualan iPhone tanpa pengecas

(Pihak berkuasa Brazil mengarahkan penggantungan serta-merta pengedaran
telefon pintar iPhone tanpa mengira model atau generasi yang tidak
disertakan dengan pengecas bateri/AFP)

BRASILIA, 7 September- Syarikat Apple dihalang daripada menjual telefon pintar, iPhone tanpa pengecas di Brazil dan telah didenda lebih daripada 12 juta reais (RM10.29 juta) berhubung isu itu, kata kerajaan negara berkenaan pada Selasa.

Dalam notis rasmi, pihak berkuasa Brazil mengarahkan penggantungan serta-merta pengedaran telefon pintar iPhone tanpa mengira model atau generasi yang tidak disertakan dengan pengecas bateri.

Kementerian Kehakiman dan Keselamatan Awam Brazil mengarahkan syarikat dari California, Amerika Syarikat (AS) itu membayar denda 12.28 juta reais (RM10.53 juta).

Apple telah disiasat di Brazil sejak Disember tahun lalu kerana penjualan produk yang tidak lengkap, diskriminasi terhadap pengguna dan pemindahan tanggungjawab kepada pihak ketiga dengan menawarkan iPhone 12s serta versi yang lebih baharu tanpa pengecas untuk salur keluar kuasa, menurut satu kenyataan rasmi.

Syarikat itu pernah berdepan denda daripada agensi negara Brazil sebelum ini tetapi tidak mengambil sebarang langkah untuk meminimumkan bahaya dan sehingga kini terus menjual peranti selular tanpa pengecas, kata kenyataan itu.

(Syarikat Apple dihalang daripada menjual telefon pintar, iPhone tanpa pengecas di Brazil/AFP)

Menurut pihak berkuasa Brazil, Apple mendakwa bahawa keputusan untuk mengecualikan pengecas daripada jualan iPhone datang daripada komitmen alam sekitar.

Namun, pihak kementerian itu memutuskan tidak ada demonstrasi perlindungan alam sekitar yang berkesan di bumi Brazil akibat daripada dasar Apple dan menuduh syarikat itu mengamalkan diskriminasi yang disengajakan terhadap pengguna. -AFP

Media Baharu