WASHINGTON, 11 Julai- Dua angkasawan pertama yang menerbangkan Boeing, kapsul Starliner berkata, mereka yakin dengan keupayaan kapal angkasa itu untuk membawa mereka pulang. Ia berikutan syarikat itu dan NASA menyelesaikan masalah pendorong yang menyebabkan mereka berada di angkasa lebih lama daripada yang dijadualkan.
"Perasaan saya masih terkawal ketika ini, dan saya yakin kapal angkasa ini akan membawa kami pulang, tiada masalah," kata angkasawan NASA Sunita "Suni" Williams dalam sidang media pertama kru ujian itu sejak berlabuh ke ISS lebih sebulan lalu.
Williams dan Barry "Butch" Wilmore, kedua-duanya merupakan angkasawan veteran NASA dan bekas juruterbang ujian Tentera Laut Amerika Syarikat, telah melancarkan Starliner dari Florida pada 5 Jun dan berlabuh pada keesokan harinya di ISS.
Pada mulanya mereka dijadualkan menghabiskan kira-kira lapan hari di ruang angkasa.
Bagaimanapun beberapa isu dengan sistem pendorong Starliner telah melanjutkan misi mereka. Lima daripada 28 pendorong pergerakan Starliner gagal semasa perjalanannya ke stesen, injap propelan tidak ditutup dengan betul dan terdapat lima kebocoran helium, yang digunakan untuk menekan penujah.
"Kami benar-benar yakin," kata Wilmore kepada pemberita.
"Dan itulah sebabnya kami kekal, kerana kami akan mengujinya. Itulah yang kami lakukan," kata Wilmore, mengakui bahawa siasatan berterusan oleh agensi angkasa Amerika Syarikat dan Boeing yang melibatkan ujian pendorong di Bumi adalah kunci untuk kepulangan mereka.
Misi ujian semasa adalah langkah terakhir Boeing sebelum kapal angkasa itu memperoleh pensijilan NASA untuk penerbangan rutin angkasawan dan menjadi kapsul orbit Amerika Syarikat kedua di samping SpaceX Crew Dragon, yang telah menguasai pasaran penerbangan angkasa lepas.- REUTERS