fb fb fb fb fb

Angka korban penduduk Gaza meningkat kepada 34,183 orang

Foto AFP

GAZA, 23 April- Sekurang-kurangnya 34,183 orang telah terbunuh di Gaza sehingga kini akibat konflik Israel-Palestin yang memasuki hari ke-200.

Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas menerusi kenyataan berkata jumlah tersebut temasuk 32 kematian yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Manakala, lebih 77,000 orang dilaporkan cedera di Gaza sejak konflik bermula, Oktober lalu. Kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak dan wanita.

Sementara itu, agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan pasukannya telah menemui berpuluh-puluh mayat penduduk Gaza yang dikebumikan dalam sebuah kubur besar di bandar selatan Khan Yunis selepas Kompleks Hospital Nasser diserang Israel sejak Sabtu lalu.

Jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Bassal memberitahu kebanyakan mangsa yang terkorban mempunyai kesan penderaan dan seksaan dilakukan tentera Israel.

"Semua mangsa korban dikebumikan di perkarangan Kompleks Hospital Nasser. Kita sedang menunggu semua mangsa untuk dikebumikan sebelum dapat memberikan angka sebenar.

Penemuan itu ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Hamas.

Netanyahu mengancam mengambil tindakan dalam masa terdekat, selain berulang kali menyatakakan Israel akan melancarkan serangan darat ke atas Rafah.-AFP

ROSLINA BINTI DIN