fb fb fb fb fb

Angka korban letupan kereta di New Delhi meningkat kepada 12 orang

Orang ramai berdiri di sebalik penghadang berhampiran lokasi letupan di kawasan Kubu Merah, Old Delhi selepas berlaku letupan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang/ AFP

NEW DELHI, 12 November – Agensi Anti Keganasan India menerajui hari ketiga siasatan terhadap insiden letupan kereta di ibu negara India, ketika pihak hospital mengesahkan bahawa jumlah kematian meningkat kepada 12 orang.

Letupan kuat itu berlaku pada petang Isnin berhampiran Kubu Merah (Red Fort),mercu tanda bersejarah di kawasan Old Delhi yang sering menjadi tumpuan pelancong serta lokasi ucapan tahunan Perdana Menteri sempena Hari Kemerdekaan India.

Perdana Menteri, Narendra Modi menyifatkan kejadian itu sebagai satu 'konspirasi' sambil memberi jaminan bahawa mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan.

Ketua Pegawai Perubatan Hospital Lok Nayak Jai Prakash (LNJP), Dr. Ritu Saxena, berkata setakat ini 12 mangsa telah disahkan meninggal dunia manakala lebih 30 yang lain cedera.

Punca sebenar letupan masih belum dikenal pasti, namun pihak Polis Delhi sedang bekerjasama dengan Agensi Penyiasatan Kebangsaan (NIA) bagi mengenal pasti sama ada insiden itu mempunyai kaitan dengan kumpulan militan.

Menurut polis, letupan berlaku hanya beberapa jam selepas penahanan sebuah kumpulan bersenjata yang disyaki memiliki bahan letupan dan senjata automatik.

Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan Jaish-e-Mohammed, kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, serta Ansar Ghazwat-ul-Hind, cabang kumpulan Al-Qaeda yang beroperasi di Kashmir.

Kedua-dua kumpulan itu disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan India.

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah mengarahkan pihak berkuasa supaya memburu setiap individu yang terlibat dalam serangan itu.

Letupan berkenaan merupakan insiden keselamatan paling serius sejak April lalu apabila 26 orang awam, kebanyakannya penganut Hindu, terbunuh dalam satu serangan di kawasan pelancongan Pahalgam, di Kashmir yang ditadbir India, yang mencetuskan ketegangan baharu dengan Pakistan. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN