fb fb fb fb fb

12 terbunuh, 27 cedera dalam serangan bunuh diri di Islamabad

Pasukan keselamatan Pakistan memeriksa kawasan kejadian selepas serangan bunuh diri di hadapan Kompleks Kehakiman Islamabad yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang/ AFP

ISLAMABAD, 8 November – Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh manakala 27 yang lain cedera dalam satu letupan bunuh diri di hadapan kompleks mahkamah daerah di ibu negara Pakistan pada petang Selasa.

Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi memaklumkan kepada media tempatan bahawa penyerang meletupkan jaket sarat bahan letupan di hadapan Kompleks Kehakiman yang menempatkan beberapa mahkamah daerah di Islamabad.

Pasukan polis dan penyelamat segera bergegas ke lokasi kejadian dan membawa mangsa yang maut serta cedera ke Institut Sains Perubatan Pakistan (PIMS) untuk rawatan lanjut.

“Saya baru keluar dari kamar peguam dan sedang menunggu klien. Tiba-tiba berlaku letupan kuat dan saya tidak sedarkan diri selepas itu,” kata Mazhar Ali, seorang peguam yang kini dirawat di hospital akibat kecederaan.

Seorang lagi peguam, Barrister Israr Ahmed, berkata mereka terdengar letupan semasa berada di dalam kamar dan bergegas keluar melihat ramai mangsa bergelimpangan dengan suasana dipenuhi asap dan kekecohan.

Menurut laporan awal siasatan, penyerang dipercayai cuba memasuki kompleks kehakiman, namun gagal melepasi kawalan keselamatan ketat sebelum meletupkan diri berhampiran kenderaan polis di luar kawasan tersebut.

Letupan itu turut menyebabkan beberapa kenderaan terbakar dan rosak teruk.

Polis memaklumkan bahawa anggota badan penyerang telah ditemui di lokasi dan pasukan forensik sedang mengenal pasti identiti suspek.

Pihak pentadbiran daerah telah mengosongkan kawasan kompleks mahkamah, manakala pasukan keselamatan melancarkan operasi mengesan sebarang ancaman susulan.

Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif, dalam kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa negara kini berada dalam keadaan perang berikutan serangan berani mati itu. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN