PHNOM PENH, 24 Disember - Angka korban awam di Kemboja meningkat kepada 21 nyawa, ketika konflik di sempadan Thailand-Kemboja masuk hari ke-17.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata dalam sidang media memaklumkan peningkatan itu susulan serangan tentera Thailand yang menyasarkan kawasan di wilayah Banteay Meanchey, Preah Vihear dan Oddar Meanchey.
"Serangan telah mengakibatkan kerosakan beberapa kemudahan awam,"katanya.
Sementara itu jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Nong Sakal menggesa kedua-dua pihak untuk mematuhi gencatan senjata yang ditandatangani Oktober lepas.
Konflik sempadan Thailand-Kemboja kembali tercetus sejak 7 Disember lepas dengan kedua-dua pihak saling tuduh menuduh antara satu sama lain sebagai pihak yang memulakan serangan.
Menurut data terkini yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Kemboja, konflik berkenaan setakat ini memaksa lebih 545,000 rakyatnya meninggalkan kediaman masing-masing.-REUTERS