fb fb fb fb fb

Angka korban gempa bumi meningkat kepada lebih 35,000

KAHRAMANMARAS, 14 Februari - Pasukan penyelamat mula menghentikan pencarian mangsa yang terselamat, seminggu selepas gempa bumi memusnahkan Turkiye dan Syria.

Bencana itu sudah meragut lebih 35,000 nyawa dan mengakibatkan berjuta-juta lagi memerlukan bantuan.

Walaupun tumpuan beralih kepada membantu mangsa terselamat yang kekurangan makanan dan tempat tinggal, masih terdapat berita tentang individu yang ditemui masih hidup di dalam runtuhan.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bernama Kaan ditarik daripada serpihan di selatan Hatay, 182 jam selepas gempa bumi kelima terburuk pada abad ini.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran harapan untuk mencari mangsa hidup semakin tipis.

Pegawai dan pengamal perubatan berkata 31,643 orang maut di Turkiye dan 3,581 di Syria, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat gempa dengan kekuatan 7.8 magnitud meningkat kepada 35,224.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan jumlah korban yang jauh lebih tinggi.

Mereka yang terselamat menghadapi kekurangan air dan sistem sanitasi yang buruk.

Di selatan Adıyaman, media tempatan melaporkan, orang dewasa diserang penyakit kulit dalam wabak yang berlaku di kawasan sesak, manakala kanak-kanak mengalami cirit-birit. - AFP

Media Baharu