fb fb fb fb fb

AS nafi tembak objek milik makhluk asing

(Belon yang disyaki milik pengintip China hanyut ke lautan selepas ditembak jatuh
di luar pantai di Pantai Surfside, Carolina Selatan pada 4 Februari lalu/FOTO REUTERS)

WASHINGTON, 14 Februari - Tiada tanda makhluk asing atau aktiviti luar angkasa selepas Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh beberapa objek tidak dikenali di ruang udara Amerika Utara bulan ini, kata White House pada Isnin.

"Saya tahu ada soalan dan kebimbangan mengenai perkara ini, tetapi tidak ada. Sekali lagi, tiada tanda makhluk asing atau aktiviti luar angkasa berikutan tembakan baru-baru ini," kata setiausaha akhbar White House Karine Jean-Pierre.

Pada Ahad, seorang jeneral Tentera Udara AS berkata beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan tentang objek yang ditembak itu milik makhluk asing atau sebarang penjelasan lagi.

Jeneral itu menolak soalan tentang menembak objek kepada pakar perisikan AS.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu semasa taklimat Pentagon pada Ahad selepas jet pejuang F-16 AS menembak jatuh objek berbentuk segi lapan di ruang udara di Tasik Huron di sempadan AS-Kanada.

Ia adalah tembakan ketiga objek yang tidak dikenal pasti selepas belon China ditembak jatuh pada 4 Februari lalu di pantai Carolina Selatan, yang meletakkan pertahanan udara Amerika Utara berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Pegawai AS mendakwa belon milik China itu digunakan untuk pengintipan.

(Sebuah jet pejuang F-16 Tentera Udara A.S. berlepas dari pangkalan udara semasa CRUZEX,
latihan udara multinasional yang dihoskan oleh Tentera Udara Brazil, di Natal pada 21 November 2018/FOTO REUTERS)

Asal-usul objek yang ditembak itu telah menjadi subjek minat dan spekulasi hangat di AS. Hanya separuh daripada rakyat Amerika percaya objek terbang yang tidak dapat dikenal pasti (UFO) wujud dan telah melawat bumi, menurut tinjauan pendapat IPSOS pada 2020.

Beberapa pegawai Rumah Putih menolak kemungkinan objek itu datang dari makhluk luar angkasa pada Isnin.

"Saya tidak fikir rakyat Amerika perlu bimbang tentang makhluk asing berkenaan dengan objek terbang itu," kata jurucakap White House John Kirby semasa taklimat bersama wartawan pada Isnin.

Insiden tersebut berlaku ketika Pentagon melakukan usaha baru sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi menyiasat penampakan UFO oleh tentera - dijenamakan semula dalam bahasa rasmi kerajaan sebagai 'Kelibat fenomena udara tidak dikenali' (UAP).

Usaha kerajaan untuk menyiasat objek pelik dan tidak dikenali – sama ada ia berada di angkasa, langit atau bahkan di bawah air – telah membawa beratus-ratus laporan yang didokumenkan, yang sedang disiasat, kata pemimpin kanan tentera.

Laporan kerajaan AS pada Jun 2021 tidak menolak kemungkinan asal usul luar angkasa untuk 144 UAP.

Laporan itu menandakan titik perubahan selepas tentera menghabiskan beberapa dekad untuk memesongkan, membongkar dan menafikan pemerhatian objek terbang yang tidak dikenali dan "piring terbang" sejak tahun 1940-an. - Reuters

Media Baharu