HAVANA, 10 Mei- Angka kematian akibat letupan di sebuah hotel mewah di Havana meningkat kepada 40 orang.
Kementerian Kesihatan Cuba dalam satu kenyataan berkata, 54 orang cedera dalam letupan minggu lalu, termasuk enam yang masih dalam keadaan kritikal. Angka kematian sehingga pagi Isnin ialah 35 orang.
Penyelamat dilihat membersihkan sisa runtuhan hotel lima bintang itu yang sedang diubah suai dan tiada tetamu pada waktu letupan itu.
Difahamkan, letupan disebabkan oleh kebocoran gas.
Pencarian kini tertumpu pada ruang bawah tanah bangunan itu.
Kementerian pelancongan berkata pada masa letupan itu terdapat 51 pekerja di dalam hotel tersebut, yang sedang bersedia untuk pembukaan semula selepas pengubahsuaian minggu ini.
Agensi berita negara ACN berkata empat mayat yang ditemui semalaman adalah mayat pekerja hotel.
“Menurut ahli keluarga, dianggarkan terdapat kira-kira 12 atau 13 orang masih terperangkap,” tambah agensi berita itu.
Empat tingkat pertama hotel itu musnah dalam letupan lewat pagi yang menyebabkan asap berkepul ke udara.
Letupan itu, yang menurut seorang pegawai berlaku ketika sebuah tangki minyak sedang diisi semula oleh sebuah lori tangki, meletupkan tingkap dan memusnahkan kereta yang diletakkan di luar hotel.
Hotel mewah itu terkenal kerana pernah menjadi hos kepada selebriti seperti Madonna, Beyonce, Mick Jagger dan Rihanna.- AFP
(Anggota bomba dan penyelamat mengalihkan serpihan dari runtuhan Hotel Saratoga./AFP)