fb fb fb fb fb

Angka kematian kebakaran hutan Hawaii meningkat lebih 80

(Deretan kereta musnah terbakar di Lahaina, barat Maui, Hawaii pada Selasa lalu/AFP)

LAHAINA, 13 Ogos- Angka kematian akibat kebakaran hutan yang disifatkan mengerikan di Hawaii, Amerika Syarikat meningkat kepada 89 orang dan jumlah itu dijangka akan bertambah.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) memaklumkan, lebih 2,200 bangunan rosak dan musnah melibatkan kerugian kira-kira AS$5.5 bilion.

Sementara itu, pihak berkuasa Hawaii berkata, mereka sedang membuka siasatan selepas seorang anggota kongres mendakwa pihak bertanggungjawab telah meremehkan situasi kebakaran, serta penduduk mengakui tiada sebarang amaran dikeluarkan kepada mereka.

Seorang penduduk, Vilma Reed, 63 berkata, dia bersama anak perempuan dan cucu serta dua ekor kucing peliharaan kini tinggal di dalam sebuah kereta selepas kediaman mereka musnah dijilat api.

"Gunung di belakang (rumah) kami terbakar dan tiada siapa memberitahu kami.

"Anda tahu bila kami dapati ada kebakaran? Apabila api sudah berada di seberang jalan daripada kami," katanya.

Kebakaran yang dilapor bermula sejak 8 Ogos lalu itu disifatkan terlalu pantas apabila ia mampu memusnahkan kawasan sebesar padang bola dalam tempoh kurang 20 saat.

Amerika Syarikat dilanda cuaca ekstrem pada musim panas tahun ini dengan kebakaran hutan turut berlaku di negara jiran, Kanada. -AFP

(Vilma Reed, 63, anak perempuannya Amanda Hernandez, 45, dan cucu Natanael Hernandez, 18,
tinggal di dalam kereta selepas kediaman mereka musnah terbakar/AFP)

Media Baharu