TORONTO, 16 Ogos -Anak kapal kabin Air Canada bersedia melancarkan mogok pada Sabtu selepas syarikat penerbangan itu membatalkan ratusan penerbangan sehingga menjejaskan lebih 100,000 penumpang, menjelang tindakan industri yang akan menghentikan sepenuhnya perkhidmatan.
Kesatuan Pekerja Awam Kanada (CUPE) yang mewakili 10,000 pramugara dan pramugari Air Canada, mendapat kebenaran untuk melancarkan mogok bermula pukul 12.01 tengah malam (0401 GMT), selepas menghantar notis mogok 72 jam pada Rabu.
Menurut laporan penyiar awam CBC, mogok boleh bermula seawal 1.00 pagi sekiranya tiada perjanjian saat akhir dicapai.
Air Canada, yang membawa kira-kira 130,000 penumpang setiap hari, sebelum ini memaklumkan ia akan mengurangkan operasi secara berperingkat menjelang mogok yang berkemungkinan berlaku.
Setakat pukul 8.00 malam Jumaat, syarikat itu telah membatalkan sebanyak 623 penerbangan, yang memberi kesan kepada lebih 100,000 penumpang.
Selain menuntut kenaikan gaji, CUPE juga mahu isu kerja atas tanah tanpa bayaran ditangani, termasuk waktu bekerja semasa proses menaiki pesawat.
Pengarah Pusat Hubungan Perindustrian di Universiti Toronto, Rafael Gomez, memberitahu AFP bahawa langkah membayar anak kapal berdasarkan waktu penerbangan sahaja adalah tindakan yang biasa dilaksanakan di seluruh dunia.
Beliau berkata, kesatuan telah membina kempen komunikasi yang berkesan mengenai isu tersebut, mencipta persepsi umum bahawa situasi ini tidak adil.
Air Canada dalam kenyataan pada Khamis telah memperincikan tawaran terbarunya, menyatakan bahawa bawah cadangan tersebut, seorang anak kapal kanan dijangka memperoleh purata CAN$87,000 (AS$65,000) menjelang tahun 2027.
Bagaimanapun, CUPE menyifatkan tawaran Air Canada sebagai "tidak setimpal dengan kadar inflasi dan di bawah nilai pasaran."
Kesatuan itu juga menolak permintaan kerajaan persekutuan dan Air Canada untuk menyelesaikan pertikaian melalui timbang tara bebas. - AFP