fb fb fb fb fb

31 negara Arab, Islam kecam visi "Greater Israel", dasar peluasan kuasa Netanyahu

Foto AFP

ISTANBUL, 16 Ogos -Menteri-menteri luar 31 negara Arab dan Islam bersama setiausaha agung Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Majlis Kerjasama Teluk (GCC), pada Jumaat mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengenai apa yang dikenali sebagai “Greater Israel”, dengan memberi amaran bahawa ia mengancam keselamatan negara Arab dan kestabilan serantau, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan sikap tidak mengendahkan secara serius serta merupakan pelanggaran terang-terangan dan berbahaya terhadap peraturan undang-undang antarabangsa serta asas hubungan antarabangsa yang stabil.

“Ia juga merupakan ancaman langsung terhadap keselamatan negara Arab, kedaulatan negara, serta keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa,” menurut mereka dalam satu kenyataan bersama.

Netanyahu memberitahu saluran berita i24 pada Selasa bahawa beliau berasa “sangat terikat” dengan visi Greater Israel.

Beliau menyifatkan dirinya “sedang menjalankan misi bersejarah dan spiritual” yang diimpikan oleh generasi Yahudi terdahulu untuk datang ke tanah ini dan akan diteruskan oleh generasi Yahudi pada masa depan.

“Greater Israel” merupakan istilah dalam politik Israel merujuk kepada peluasan wilayah Israel yang merangkumi Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Bukit Golan di Syria, dengan beberapa tafsiran turut memasukkan Semenanjung Sinai di Mesir dan sebahagian Jordan.

Blok itu menegaskan bahawa walaupun negara anggotanya kekal komited terhadap prinsip legitimasi antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai larangan penggunaan atau ancaman kekerasan, mereka “akan menerima pakai semua dasar dan langkah yang memelihara keamanan dengan cara yang memberi manfaat kepada kepentingan semua negara dan rakyat."

Kenyataan bersama itu turut mengecam tindakan Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, yang meluluskan pembinaan penempatan haram baharu di Tebing Barat yang diduduki serta penolakannya terhadap penubuhan sebuah negara Palestin, menyifatkannya sebagai “serangan terang-terangan” terhadap hak rakyat Palestin untuk sebuah negara merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Blok itu mengulangi bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas mana-mana bahagian wilayah Palestin yang diduduki dan mengecam semua aktiviti penempatan Israel sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa serta Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB. Ia juga menegaskan semula pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mendapati pendudukan Israel adalah haram dan menyeru ia ditamatkan segera.

Kenyataan itu turut memberi amaran mengenai “bahaya besar” dasar peluasan kuasa Israel di Tebing Barat, termasuk pencerobohan harian ke atas bandar serta kem pelarian Palestin, keganasan oleh peneroka haram dan serangan terhadap tapak suci Islam dan Kristian, khususnya Masjid al-Aqsa. Tindakan itu menurut para menteri, hanya menyemarakkan kitaran keganasan dan menggagalkan prospek keamanan.

Blok berkenaan juga mengecam “jenayah pencerobohan, genosid dan pembersihan etnik” yang dilakukan Israel di Semenanjung Gaza.

Ia mengulangi gesaannya untuk gencatan senjata segera, akses kemanusiaan tanpa had, serta penamatan sekatan yang telah mewujudkan keadaan seakan kebuluran dan melumpuhkan sistem kesihatan Gaza.

Mereka turut menolak sebarang rancangan untuk mengusir rakyat Palestin “atas apa jua alasan” dan menegaskan Israel bertanggungjawab sepenuhnya sebagai kuasa pendudukan terhadap malapetaka kemanusiaan di wilayah itu.

Blok itu menegaskan bahawa Gaza adalah bahagian penting yang tidak boleh dipisahkan dari tanah Palestin yang diduduki serta menyuarakan sokongan agar Negara Palestin mengambil alih tadbir urus sepenuhnya ke atas Gaza dan Tebing Barat di bawah satu pentadbiran bersatu berasaskan program politik Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), satu-satunya wakil sah rakyat Palestin. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF