fb fb fb fb fb

Amuk: Empat mati tiga cedera lelaki lepaskan tembakan rambang

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 8 September- Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan tiga lagi cedera dalam kejadian amuk selama kira-kira sejam melibatkan seorang lelaki yang melepaskan tembakan di sekitar Memphis.

Menurut polis, lelaki itu akhirnya berjaya ditahan setelah pemburuan digerakkan polis bandaraya Amerika Syarikat itu. 

Pegawai polis mengenal pasti suspek sebagai Ezekiel Kelly, 19 tahun. Ketika ditahan kira-kira 9.00 malam waktu tempatan, polis menemukan dua senjata di dalam kenderaannya.

“(Kelly) telah ditahan oleh anggota polis Memphis dan Pejabat Sheriff Shelby County," kata Ketua Polis Memphis, Cerelyn Davis pada sidang akhbar.

Menurut Devis, Kelly didakwa membunuh mangsa pertama pada tengah malam Rabu dan dia melakukan aksi tembak di seluruh bandar Tennessee pada awal petang.

Jelas polis, terdapat sekurang-kurangnya lapan lokasi jenayah berbeza yang dilakukan Kelly termasuk rompakan kereta dan tembakan di sebuah kedai, dan Kelly ada menyiarkan secara langsung detik 'keseronokan' itu.

“Ezekiel Kelly ada membuat siaran langsung di Facebook apabila dia melepaskan tembakan semasa rompakan di kedai, ” kata Davis.


(Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi rompakan kereta yang dikaitkan dengan
kejadian amuk dan tembak pada 7 September 2022 di Memphis/AFP)

Ketika kejadian, pihak berkuasa telah mengeluarkan perintah "kawasan perlindungan” bagi memastikan keselamatan bandar itu.

Kejadian seumpama itu termasuk keganasan senjata api memang kerap berlaku di AS, namun Kongres enggan meluluskan undang-undang kawalan senjata api yang ketat atas faktor perbezaan politik.

Menurut Gun Violence Archive, sekurang-kurangnya 490 orang terbunuh dalam insiden tembakan seperti itu pada tahun ini manakala 14,050 orang terbunuh dalam insiden berkaitan senjata api dalam tempoh sama, tidak termasuk kes bunuh diri. –AFP

 

Media Baharu