fb fb fb fb fb

Amerika Syarikat berisiko hadapi krisis hutang-Yellen

Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen /Foto REUTERS

WASHINGTON, 28 Disember - Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (A.S) mungkin perlu mengambil "langkah luar biasa seawal 14 Januari depan untuk mengelakkan negara itu daripada gagal membayar hutang, menurut Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen dalam surat kepada penggubal undang-undang pada Jumaat.

Yellen menggesa Kongres A.S bertindak segera untuk "melindungi kepercayaan penuh dan kredit Amerika Syarikat."

Beliau menambah, hutang A.S dijangka berkurang sebanyak AS$54 bilion pada 2 Januari kerana penebusan sekuriti bukan pasaran yang dipegang oleh dana amanah persekutuan berkaitan bayaran penjagaan kesihatan.

"Perbendaharaan menjangkakan akan mencapai had baru antara 14 Januari dan 23 Januari, dan langkah luar biasa perlu diambil pada masa itu", tambahnya.

Di bawah perjanjian belanjawan 2023, Kongres menggantung had hutang sehingga 1 Januari 2025.

Jabatan Perbendaharaan akan dapat membayar hutang untuk beberapa bulan lagi, tetapi Kongres perlu menyelesaikan isu ini tahun depan.

Kegagalan untuk bertindak boleh menghalang Perbendaharaan daripada membayar hutangnya, yang berpotensi membawa kesan ekonomi yang teruk.

Had hutang ialah had yang ditetapkan oleh Kongres mengenai jumlah wang yang boleh dipinjam oleh kerajaan A.S

Oleh kerana kerajaan membelanjakan lebih banyak daripada hasil cukai yang dikumpulkan, penggubal undang-undang perlu menangani isu ini secara berkala iaitu tugas yang sukar dari segi politik kerana ramai yang enggan meluluskan lebih banyak hutang.

Kongres menetapkan had hutang pertama sebanyak AS$45 bilion pada tahun 1939 dan telah menaikkannya sebanyak 103 kali sejak itu, kerana perbelanjaan secara konsisten melebihi hasil cukai.

Hutang awam yang dipegang adalah 98% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) A.S pada Oktober, berbanding 32% pada Oktober 2001.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD