GAZA CITY, 28 Disember- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat, memindahkan 27 pesakit dan individu yang cedera dari Hospital Dar El Shifa di utara Gaza ke bandar selatan Khan Younis untuk mendapatkan rawatan di hospital luar Palestin.
Israel terus melancarkan serangan darat berskala besar di utara Gaza sejak 5 Oktober, kononnya untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula.
Bagaimanapun, rakyat Palestin menuduh Israel sebenarnya mempunyai helah lain iaitu mahu menjajah kawasan tersebut dan memaksa penduduknya berpindah.
Sejak itu, bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan, dan bahan api tidak dibenarkan masuk, menyebabkan populasi yang tinggal berada di ambang kebuluran yang teruk.
Serangan tersebut merupakan episod terbaru dalam perang genosid Israel di Gaza yang telah membunuh lebih 45,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Bulan lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang ke atas wilayah tersebut.-REUTERS