fb fb fb fb fb

Amaran tahap tinggi dikeluarkan susulan situasi konflik Ukraine dengan Rusia semakin memuncak

FOTO AFP

KYIV, 14 Februari - Amaran tahap tinggi dikeluarkan beberapa negara menggesa rakyat mereka yang masih berada di Ukraine meninggalkan negara itu secepat mungkin.

Ia susulan situasi konflik Ukraine dengan Rusia yang semakin memuncak selain amaran kemungkinan perang dua negara terbabit tercetus bila-bila masa.

Berikutan itu, Kedutaan Jepun di Kyiv hanya akan menawarkan perkhidmatan terhad selepas kakitangan diplomatik dipindahkan, menurut kementerian pada Ahad.

Pejabat Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida telah menubuhkan satu badan untuk menyelaras tindakan dan mengumpul maklumat mengenai perkembangan di Ukraine.

Tindakan sama turut diambil Singapura yang menasihatkan rakyatnya meninggalkan Ukraine secepat mungkin.

Kementerian Luar Negeri republik itu berkata, tiada jaminan kementerian itu dapat membantu warga Singapura sekiranya konflik tercetus memandangkan negara itu tidak mempunyai perwakilan politik di Ukraine.

Dilaporkan bahawa Israel, Albania dan Maghribi turut menggesa rakyat masing-masing meninggalkan Ukraine.

Kanada dan Australia turut menggantung operasi kedutaan di Kyiv dan membuka pejabat sementara di Lviv.

 

Media Baharu