fb fb fb fb fb

Aktiviti komersial jejas keupayaan lautan menyerap CO2- Kajian

kesan pukat tunda dasar laut dan kerja-kerja mengorek iaitu dua aktiviti komersial yang mengganggu dasar laut / Foto dialogue.earth

WASHINGTON, 28 Mac-Aktiviti komersial yang merosakkan dasar laut sedang mengganggu keupayaan semula jadi lautan untuk menyerap karbon, menurut kajian baharu yang diterbitkan pada Jumaat.

Para saintis menganggarkan bahawa sekitar 30% karbon dioksida (CO2) yang dilepaskan oleh manusia diserap oleh lautan, memainkan peranan penting dalam pengawalan iklim dan memperlahankan kadar pemanasan global.

"Kini terdapat banyak perhatian terhadap penyingkiran karbon dioksida marin," kata Sebastiaan van de Velde, penulis utama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances.

"Tetapi kita tidak bertanya soalan, 'apakah yang kita lakukan sekarang yang mungkin tidak membantu atau mengurangkan keupayaan lautan menyerap CO2?'" tambahnya.

Untuk menyelidik isu berkenaan, pasukannya membangunkan model simulasi bagi mengkaji kesan pukat tunda dasar laut dan kerja-kerja mengorek iaitu dua aktiviti komersial yang mengganggu dasar laut terhadap penyerapan CO2 oleh lautan.

Keputusan kajian mendapati bahawa aktiviti itu mengurangkan kealkalian air, sekali gus menghadkan jumlah karbon dioksida yang boleh diserap.

Kajian menganggarkan bahawa aktiviti berkenaan menyebabkan pengurangan penyerapan CO2 antara dua hingga lapan juta tan (2.2 hingga 8.8 juta tan) setiap tahun.

Walaupun jumlah itu kecil berbanding keseluruhan CO2 yang diserap oleh lautan, kajian tersebut menunjukkan bahawa aktiviti manusia menyumbang kepada penurunan kecekapan "sink karbon" lautan.

Van de Velde turut menekankan bahawa kajian ini menunjukkan dengan mengurus aktiviti ekonomi sedia ada dengan lebih baik, kita boleh meningkatkan keupayaan lautan untuk menyerap CO2 dengan mudah.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD