KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow menyifatkan perjanjian gencatan senjata yang diperkukuh dengan Kemboja sebagai satu “laluan ke arah keamanan”, sambil memuji peranan aktif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dalam memudah cara rundingan berkenaan.
Perjanjian itu ditandatangani di Kuala Lumpur pada Ahad dengan kehadiran Trump, yang menurut Sihasak telah menunjukkan komitmen peribadi dalam membantu mencapai penyelesaian diplomatik antara kedua-dua negara jiran tersebut.
“Beliau memberi perhatian secara peribadi dan menghantar pasukan ke rantau ini untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memudah cara perbincangan yang kami adakan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di luar Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN di sini, hari ini.
Sihasak turut menyatakan keyakinan bahawa pelaksanaan terma-terma perjanjian itu akan berada di bawah pengawasan “pasukan pemerhati ASEAN” bagi memastikan pematuhan sepenuhnya oleh kedua-dua pihak.
Perjanjian tersebut merupakan kesinambungan kepada gencatan senjata yang ditandatangani tiga bulan lalu, selepas Trump menghubungi pemimpin Thailand dan Kemboja ketika itu bagi menggesa penamatan segera permusuhan.
Presiden AS itu turut memberi amaran bahawa rundingan perdagangan kedua-dua negara dengan Washington akan digantung sekiranya konflik berlarutan.
Kedua-dua negara sebelum ini saling menuding jari antara satu sama lain berhubung punca tercetusnya pertukaran serangan roket dan artileri berat selama lima hari, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 48 nyawa serta memaksa kira-kira 300,000 penduduk berpindah sementara, menjadikannya insiden pertempuran paling buruk dalam sejarah moden kedua-dua negara. -REUTERS