RAFAH, 26 Oktober - Beberapa konvoi lori bantuan masih berbaris di lintasan Rafah di sempadan Mesir untuk memasuki Gaza kerana masih disekat pihak rejim Israel.
Lintasan Rafah satu-satunya pintu masuk utama bagi bantuan ke Gaza kekal ditutup sejak Israel mengambil alih kawalan ke atasnya pada Mei 2024.
Akibatnya sejumlah besar bantuan kini tersangkut di bahagian Mesir.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis lalu menggesa agar lintasan itu dibuka semula dan konvoi bantuan sepatutnya diberikan laluan tanpa sekatan.
"Hanya sebahagian kecil bantuan yang tiba ke Gaza daripada keperluan sebenar, " kata agensi itu ketika sedang berusaha membina semula sistem kesihatan wilayah berkenaan.
Perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat masih berkuat kuasa antara Israel dengan Hamas.
Namun kedua-dua pihak terus saling menuduh melanggar perjanjian tersebut. -REUTERS