DOHA, 26 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan pertemuan dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, dan Menteri Luar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al-Thani, di atas pesawat Air Force One semasa persinggahan mengisi minyak di Pangkalan Udara Al Udeid, berhampiran Doha.
Dalam pertemuan singkat itu, Trump memuji Qatar sebagai sekutu yang penting kepada Amerika Syarikat di rantau Teluk.
Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani (kiri) ketika pertemuan bersama Presiden AS, Donald Trump di atas pesawat Air Force One/AFP
“Mereka adalah sekutu yang hebat, dan mereka berdua merupakan pemimpin yang hebat,” katanya sambil duduk di antara kedua-dua pemimpin Qatar berkenaan. “Ketika ini, Asia Barat berada dalam keadaan selamat, dan anda akan memastikan ia kekal begitu untuk tempoh yang panjang.”
“Kami berharap demikian,” balas Emir Sheikh Tamim.
Pertemuan tersebut berlangsung ketika Trump dalam perjalanan ke Asia bagi memulakan lawatan selama lima hari ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan diplomatik Amerika Syarikat di rantau tersebut, di samping mengurangkan ketegangan perdagangan antara Washington dan Beijing.
Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping, di Korea Selatan minggu hadapan bagi membincangkan usaha mengelakkan peningkatan konflik perdagangan antara kedua-dua kuasa besar dunia itu. -REUTERS