fb fb fb fb fb

Trump tandatangani bersama perjanjian gencatan senjata Thailand-Kemboja

(Dari kanan ke kiri) Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyertai majlis menandatangani perjanjian gencatan senjata bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur/AFP

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menandatangani bersama perjanjian gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja di Malaysia.

Ia merupakan destinasi pertama lawatan Trump ke Asia yang akan berakhir dengan pertemuan bersama Presiden China, Xi Jinping.

Perjanjian itu turut ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bersama Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, susulan pertikaian berdarah di sempadan kedua-dua negara tahun ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Kemboja, perjanjian tersebut merangkumi pembebasan 18 tahanan perang Kemboja atas dasar kemanusiaan.

Kedua-dua negara berjiran itu sebelum ini bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata pada akhir Julai, namun saling menuduh melanggar perjanjian berkenaan.

Ketika majlis menandatangani perjanjian itu, Trump menyifatkannya sebagai langkah bersejarah dan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pemimpin atas komitmen mereka ke arah keamanan. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ