fb fb fb fb fb

Penyertaan ASEAN lebih daripada sekadar impian - PM Timor-Leste

Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur/AFP

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao menyifatkan kemasukan negaranya ke dalam ASEAN sebagai lebih daripada sekadar impian yang menjadi kenyataan.

“Hari ini sejarah tercipta,” kata Gusmao selepas majlis menandatangani deklarasi rasmi yang menandakan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini.

“Bagi rakyat Timor-Leste, ini bukan sahaja impian yang direalisasikan, tetapi pengiktirafan yang kuat terhadap perjalanan kami, satu perjalanan yang penuh dengan ketabahan, keazaman dan harapan,” tambahnya.

Penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN hadir selepas penantian selama 14 tahun.

Walaupun keanggotaannya tidak dijangka membawa perubahan besar dalam struktur ASEAN, ia merupakan kemenangan simbolik bagi Presiden Jose Ramos-Horta dan Gusmao, dua tokoh utama perjuangan kemerdekaan negara itu.

Kemasukan itu dimuktamadkan oleh para pemimpin ASEAN pada pembukaan Sidang Kemuncak Tahunan di Kuala Lumpur, diiringi tepukan gemuruh ketika bendera Timor-Leste dikibarkan di pentas utama. -AFP

SITI AISHA MELISA YUHANIZ