fb fb fb fb fb

Aktivis Pakistan diculik di Karachi

(FOTO FAIL: Jibran Nasir, seorang peguam hak asasi manusia dan calon bebas untuk
pilihan raya umum, bercakap di pejabatnya di Karachi, Pakistan 23 Julai 2018/ REUTERS)

ISLAMABAD, 2 Jun - Seorang peguam dan aktivis Pakistan yang terkenal kerana kritikannya ke atas pasukan tentera yang berkuasa di negara itu diculik di Karachi, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Lebih sedozen lelaki bersenjata tidak dikenali menculik Jibran Nasir ketika dia pulang dari makan malam bersama isterinya di bandar pelabuhan itu pada tengah malam.

Isterinya, Mansha Pasha, seorang pelakon terkenal dalam video pada lewat Khamis meminta orang ramai bersuara untuk kepulangan suaminya serta mendoakan keselamatannya.

Penculikan Nasir di tengah-tengah pergolakan politik yang berterusan di Pakistan mendorong aktivis dan masyarakat sivil untuk menyuarakan kebimbangan mereka.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) turut menyuarakan kebimbangan mengenai laporan bahawa Nasir "telah diculik oleh orang bersenjata yang tidak dikenali di Karachi".

"Kami menuntut beliau segera dilepaskan dan penculiknya didakwa," kata HRCP.


(FOTO FAIL/ REUTERS)

Beberapa hari sebelum penculikannya, Nasir mengecam tindakan keras terhadap Pergerakan Keadilan Pakistan (PTI) dan peranan pertubuhan itu dalam hal ehwal politik.

Minggu lepas, keluarga penyampai TV terkenal dan YouTuber Imran Riaz bimbang atas keselamatannya. Riaz hilang pada 11 Mei dan pihak berkuasa tidak mengetahui keberadaannya.

Sebilangan pemimpin politik, wartawan dan penyokong bekas perdana menteri Imran Khan ditangkap dan beberapa lagi hilang apabila pihak berkuasa mengambil tindakan keras berikutan protes ganas terhadap penahanan Khan atas tuduhan rasuah bulan lalu. -BERNAMA

Media Baharu