fb fb fb fb fb

Laos buat persediaan untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2024

(FOTO FAIL/ BERNAMA)

VIENTIANE, 2 Jun - Persidangan bagi membincangkan persediaan Laos untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2024 berlangsung di Vientiane pada Khamis.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Saleumxay Kommasith yang juga timbalan ketua Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan mengenai Persiapan dan Pelaksanaan Kepengerusian ASEAN Laos 2024.

Semasa persidangan itu, jawatankuasa kebangsaan menyemak persiapan oleh 14 jawatankuasa kecilnya daripada segi kandungan perbincangan, tema dan reka bentuk logo, penginapan untuk pemimpin negara dan kerajaan, perwakilan dan wartawan asing, tempat mesyuarat, kemudahan komunikasi dan Internet, pegawai perhubungan dan sukarelawan serta destinasi pelancongan.

Timbalan Perdana Menteri meminta jawatankuasa kecil untuk berusaha dan melaksanakan tugas mereka, terutama yang mendesak bagi menerima penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN daripada Indonesia pada Sidang Kemuncak ke-43 pada September tahun ini.

Beliau juga meminta sektor berkaitan supaya terus melaksanakan tugas yang diperlukan bagi memastikan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan lain yang akan diadakan di Laos pada 2024. - BERNAMA


(FOTO HIASAN/ AFP)

Media Baharu