fb fb fb fb fb

Ahmed al-Sharaa ketuai Majlis Keselamatan Kebangsaan Syria

Seorang anggota pasukan keselamatan yang setia kepada kerajaan sementara Syria kini bertugas mengawal pos pemeriksaan yang sebelum ini dikuasai oleh penyokong bekas presiden Bashar al-Assad di bandar Hmeimim. Foto AFP

DAMSYIK, 13 Mac-Pihak berkuasa Syria pada Rabu mengumumkan pembentukan Majlis Keselamatan Kebangsaan, yang akan dipengerusikan oleh Presiden sementara, Ahmed al-Sharaa.

Badan itu yang sebelum ini tidak wujud semasa kepimpinan bekas Presiden yang digulingkan,Bashar al-Assad akan bertanggungjawab untuk "menyelaras dan mengurus dasar keselamatan serta politik," menurut kenyataan rasmi yang disiarkan di akaun Telegram presiden negara itu.

Penubuhan majlis itu dibuat ketika pihak berkuasa berusaha menegakkan pemerintahan kebangsaan, membubarkan kumpulan bersenjata dan membina semula negara selepas lebih 13 tahun perang saudara.

Bagaimanapun, usaha itu menjadi lebih mencabar susulan gelombang pembunuhan beramai-ramai, terutamanya membabitkan golongan minoriti Alawiyah kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Assad.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan bahawa hampir 1,400 orang awam telah terbunuh oleh pasukan keselamatan atau kumpulan yang bersekutu dengan mereka.

Pihak berkuasa Syria pada Isnin mengumumkan operasi terhadap penyokong Assad telah berakhir.

Sharaa, yang memimpin kumpulan Islamis Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang berakar daripada rangkaian jihad Al-Qaeda di Syria, berikrar akan melindungi minoriti agama dan etnik di negara itu.

Beliau membuat janji tersebut selepas pasukan pemberontak yang diketuai HTS berjaya menggulingkan Assad pada awal Disember.

Menurut dekri yang dikeluarkan, penubuhan majlis ini bertujuan untuk "memperkukuh keselamatan negara dan menangani cabaran politik serta keselamatan pada fasa mendatang".

Ahli majlis berkenaan turut merangkumi Menteri Luar Negeri, Pertahanan, Dalam Negeri dan ketua agensi perisikan negara.

Selain itu, dua ahli penasihat serta seorang pakar teknikal akan dilantik oleh Sharaa.

Mesyuarat akan diadakan secara berkala atau apabila diputuskan oleh presiden, dan "keputusan berkaitan keselamatan negara serta cabaran yang dihadapi akan dilaksanakan dengan perundingan bersama ahli majlis," menurut dekri tersebut.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD