fb fb fb fb fb

Rodrigo Duterte, tiba di Belanda hadapi kes ICC

Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte / AFP

THE HAGUE, 13 Mac- Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, menegaskan beliau bertanggungjawab sepenuhnya dan berikrar melindungi pasukan polis serta tentera ketika tiba di Belanda pada Rabu bagi menghadapi kes Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan tindakan kerasnya terhadap dadah.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang berpusat di The Hague sebelum ini menyatakan terdapat "asas munasabah" untuk mempercayai bahawa Duterte telah melakukan jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan sebagai "rakan subahat tidak langsung" dalam kempen antidadah yang dikatakan kumpulan hak asasi telah meragut puluhan ribu nyawa.

"Saya yang memimpin pasukan penguatkuasaan undang-undang dan tentera kita. Saya telah berjanji untuk melindungi mereka dan bertanggungjawab atas semua ini," kata Duterte dalam satu video yang dikongsi di laman Facebook beliau dan seorang penasihat rapatnya sebelum mendarat di Belanda.

Beliau, yang kini berusia 79 tahun dan menjadi bekas ketua negara Asia pertama berdepan pertuduhan di ICC, menambah: "Saya telah memberitahu polis dan tentera bahawa ini adalah tugas saya dan saya bertanggungjawab."

"Meskipun ini akan menjadi proses undang-undang yang panjang, saya ingin tegaskan bahawa saya akan terus berkhidmat untuk negara. Biar apa pun yang terjadi," katanya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE