fb fb fb fb fb

Jejak kaki dinosaur 200 juta tahun ditemui di sekolah Australia

Salah satu fosil jejak kaki dinosaur (kiri) daripada spesies Anomoepus scambus (kanan) yang jelas kelihatan pada bongkah batu di sebuah sekolah di Queensland, Australia/AFP

SYDNEY, 12 Mac- Lebih 60 jejak kaki dinosaur yang telah menjadi fosil ditemui pada bongkah batu di sebuah sekolah di Queensland, Australia menjadikannya antara penemuan paling signifikan dalam bidang paleontologi negara itu.

Ahli paleontologi dari Universiti Queensland, Anthony Romilio berkata fosil tersebut dipercayai berasal dari zaman Jurassic awal, kira-kira 200 juta tahun lalu dan menunjukkan salah satu kepekatan jejak kaki dinosaur tertinggi yang pernah didokumentasikan di Australia.

"Ia memberikan gambaran luar biasa mengenai jumlah, pergerakan dan tingkah laku dinosaur pada era yang tidak mempunyai rekod fosil tulang dinosaur di Australia," katanya.

Batu berkenaan ditemui oleh pekerja lombong arang batu pada 2002 sebelum diserahkan kepada sebuah sekolah di bandar kecil Biloela.

Kesan tapak kaki berkuku tiga itu bagaimanapun tidak mendapat perhatian sehingga pihak sekolah meminta Romilio menelitinya.

"Hasil pemeriksaan mendapati batu itu mengandungi 66 kesan jejak kaki dinosaur daripada spesies Anomoepus scambus iaitu dinosaur herbivor kecil yang berjalan dengan dua kaki," jelasnya.

Menurut Romilio, fosil jejak kaki sering diketepikan dalam penyelidikan kerana kurang menarik berbanding fosil tulang, meskipun ia merupakan antara tinggalan dinosaur paling banyak ditemui.

Usaha pencarian fosil di kawasan berkenaan turut menemukan satu bongkah batu seberat dua tan di pintu masuk tempat letak kereta sebuah lombong arang batu yang turut mempunyai fosil dinosaur.

Romilio dan pasukan penyelidik telah menerbitkan penemuan itu dalam jurnal saintifik Historical Biology. -AFP

1203 BD JEJAK KAKI DINOSAUR
Anthony Romilio menunjukkan penemuan jejak kaki dinosaur dipercayai berasal dari zaman Jurassic awal, kira-kira 200 juta tahun lalu/AFP

SITI AISHAH MD ISA