ABU DHABI, 19 Februari- Abu Dhabi menentang pemindahan rakyat Palestin.
Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan berkata demikian ketika bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio di Abu Dhabi.
"UAE menekankan keperluan untuk pembinaan semula Gaza yang dikaitkan dengan laluan menuju keamanan yang menyeluruh dan berkekalan berdasarkan penyelesaian dua negara," kata baginda yang memetik agensi berita WAM milik negara teluk itu.
Pertemuan berkenaan adalah sebahagian daripada lawatan pertama Rubio ke Asia Barat yang termasuk perbincangan mengenai cadangan Presiden AS, Donald Trump untuk meletakkan Gaza di bawah kawalan AS dan memindahkan penduduknya.
Lawatan itu juga menyaksikan perbincangan penting dengan pegawai Rusia di Riyadh, yang membincangkan usaha untuk menamatkan perang di Ukraine.
Lawatan Rubio ke UAE berlangsung menjelang Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk yang melibatkan enam negara, bersama Mesir dan Jordan, pada Jumaat bagi memberi maklum balas terhadap rancangan Trump.
Trump telah mencadangkan untuk meletakkan Gaza di bawah kawalan AS dan memindahkan 2.4 juta penduduknya, kebanyakannya ke Jordan dan Mesir.- AFP