WASHINGTON, 21 Februari- Penularan wabak campak di barat laut Texas bulan lalu kini menjangkiti 90 orang, kebanyakannya dalam kalangan individu yang tidak divaksinasi, menurut data negeri yang dikeluarkan pada Jumaat dan angka itu dijangka akan meningkat.
Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 77 daripada kes tersebut melibatkan kanak-kanak, manakala 10 kes melibatkan golongan dewasa, manakala tiga lagi data belum diperolehi.
Seramai 16 pesakit telah dimasukkan ke hospital akibat penyakit yang sangat mudah berjangkit serta pesakit mengalami gejala ruam dan juga boleh menyebabkan radang paru-paru, bengkak otak dan komplikasi serius lain.
Manakala, terdapat lima kes telah dilaporkan dalam kalangan individu yang diberi vaksin. Majoriti pesakit tidak divaksinasi atau status vaksinasi mereka masih tidak diketahui.
Kes tertinggi direkodkan di Gaines County, kawasan didiami komuniti Mennonite yang ragu-ragu terhadap vaksinasi dengan sebanyak 57 kes dilaporkan.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), sebanyak 285 kes campak direkodkan di Amerika Syarikat, tahun lalu.
Penularan wabak paling buruk pada 2019 dengan merekodkan 1,274 kes, kebanyakannya dalam komuniti Yahudi Ortodoks di New York dan New Jersey sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam beberapa dekad.
Tambah CDC, sebelum vaksin campak diperkenalkan pada tahun 1963, penyakit itu menjangkiti kira-kira tiga hingga empat juta rakyat Amerika setiap tahun.
Walaupun campak telah diisytiharkan dihapuskan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2000, wabak itu terus berlaku setiap tahun serta di peringkat global, penyakit ini kekal antara pembunuh utama, meragut puluhan ribu nyawa setiap tahun.
Sementara itu, pentadbiran Trump telah menangguhkan mesyuarat rutin panel penasihat bebas yang membuat syor vaksinasi kepada CDC.
Mesyuarat yang dijadualkan pada 26-28 Februari itu akan membincangkan vaksin untuk penyakit meningococcal, influenza dan chikungunya serta penyakit virus yang menyebabkan demam dan sakit sendi.
Bagaimanapun, laman web CDC kini menyatakan bahawa mesyuarat itu ditangguhkan untuk mendapatkan ulasan awam, tetapi tiada tarikh baharu ditetapkan.-AFP