fb fb fb fb fb

Krisis Congo: 42,000 pelarian melarikan diri ke Burundi

Anggota kumpulan M23 memantau dan mengawal kawasan semasa latihan khas di Bukavu/ AFP

NEW YORK, 22 Februari- Konflik di Republik Demokratik Congo (DRC) semakin buruk apabila 42,000 pelarian melarikan diri ke Burundi dalam tempoh dua minggu lalu.

Situasi bergolak itu menimbulkan kebimbangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Pertempuran antara kumpulan pemberontak M23 dan pasukan kerajaan di timur DRC telah meragut lebih 20 nyawa setakat bulan lepas.

PBB turut memberi amaran, kumpulan M23 yang disokong Rwanda akan terus mara ke arah kawasan strategik lain termasuk di utara dan selatan Kivu. M23 berjaya menguasai Goma, bandar utama di timur DRC dan kini meneruskan serangan ke selatan.

M23 adalah salah satu daripada kira-kira 100 kumpulan bersenjata yang bersaing untuk bertapak di timur DRC yang kaya dengan mineral, di sepanjang sempadan dengan Rwanda.

Kemajuan pesat telah menyebabkan ribuan orang melarikan diri dari kawasan tersebut dan menambah kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya konflik serantau.

Sementara itu, Agensi pelarian PBB (UNHCR) merancang untuk membantu kira-kira 58,000 pelarian dalam tempoh tiga bulan ini.

Terdahulu, Presiden Burundi beri amaran bahawa konflik yang semakin meruncing di timur DRC berpotensi mencetuskan perang serantau.-AFP

ROSLINA BINTI DIN